Wednesday, December 29, 2021

Falsafah Pendidikan Guru (FPG): Pemikiran dan Amalan dalam Profesion Keguruan

 Blog ini merupakan tugasan kerja berkumpulan bagi subjek KPF3012 Kumpulan T. 

1.0 PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU (FPG) DAN KANDUNGANNYA SECARA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT.

NAMA: NURUL SYUHADAH BINTI NOR HUSSIN 

NO MATRIK: (D20211100076)

1.1 Sejarah Pembentukan Falsafah Pendidikan Guru Malaysia

            Sejarah pembentukannya bermula sebelum tahun 1982 lagi di mana pendidikan guru di Malaysia ketika itu masih tidak mempunyai satu falsafah yang tersurat dalam bentuk dokumentasi. Pendidikan guru yang hanya ada bergerak selari dengan matlamat negara yang dinyatakan dalam Laporan Pelajaran. Contohnya, Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1961) dan Rancangan Malaysia.

Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet telah menetapkan hala tuju pendidikan guru di Malaysia. Antara hala tujunya adalah menghasilkan guru yang mempunyai kesedaran dan daya pemikiran untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara interaktif bagi mengembangkan lagi potensi murid secara seimbang dan harmoni terutama dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani serta melahirkan guru yang dapat membudayakan ilmu dalam masyarakat.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Bahagian Pendidikan Guru telah menggubal dan mendokumentasikan Falsafah Pendidikan Guru dengan rasminya pada tahun 1982. Objektif utama Falsafah Pendidikan Guru itu didokumentasikan adalah untuk menjadi rujukan, garis panduan, amalan dan wawasan kepada semua institusi yang melahirkan guru-guru di Malaysia ini. 

1.2 PERNYATAAN KANDUNGAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU DI MALAYSIA


1.3 KETERANGAN KANDUNGAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU (FPG)

 

·       Guru yang berpekerti mulia.

Guru mestilah sentiasa bersedia meletakkan kepentingan utama kepada pihak lain seperti murid, ibu bapa murid, masyarakat dan negara melebihi kepentingan diri sendiri dan keluarga. Guru juga seharusnya bersikap adil kepada setiap murid dalam apa jua perkara tanpa mengira latar belakang murid tersebut. Misalnya, guru sentiasa memberi pertolongan secara ikhlas kepada setiap murid.

·       Guru yang berpandangan progresif dan saintifik.

Seorang guru yang sentiasa berfikiran positif, inovatif dan motivatif dapat dilahirkan melalui FPG. Guru akan mempunyai minda yang ke hadapan dan sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahirannya selaras dengan perkembangan pendidikan secara global dari masa ke semasa. Tambahan pula, seseorang guru itu akan sentiasa berusaha dengan gigi dalam mencari dan menggunakan idea, bahan dan kaedah baru dalam melaksankan bidang tugasnya. Sebagai contoh, guru akan mempelbagaikan kaedah pengajaran dengan menggunakan kemahiran teknologi maklumat seperti komputer, projektor dan lain-lain untuk menarik minat murid untuk belajar dan terus kekal fokus sewaktu sesi pembelajaran dijalankan.

·       Guru yang bersedia menjunjung aspirasi negara.

Melalui FPG, terbentuknya seorang guru yang sentiasa meletakkan hasrat dan matlamat negara sebagai yang terpenting dan utama dalam hidupnya. Guru sewajarnya mendahulukan kepentingan negara dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan kerana pendidikan juga merupakan peneraju kemajuan negara. Contohnya, seorang guru wajib taat arahan dan mengutamakan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

·       Guru yang menyanjung warisan kebudayaan negara.

Sememangnya, seorang guru dapat meletakkan diri sebagai role model untuk mengelakkan nilai-nilai yang menjadi warisan kebudayaan negara agar menjadi teladan kepada murid, ibu bapa dan masyarakat. Misalnya, seorang guru sentiasa menjaga kelakuan diri sepanjang masa kerana adab dan tingkah laku diri mencerminkan identiti diri seorang guru tersebut.

·       Guru yang menjamin perkembangan individu.

Guru sentiasa memberikan keutamaan dan memastikan setiap murid diberi peluang untuk kembangkan potensi dan bakat mereka secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani secara terbimbing dalam aktiviti pembelajaran dan aktiviti kokurikulum. Sebagai contoh, murid bebas memilih subjek elektif, aktiviti kokurikulum dan bebas mengemukakan idea mereka sendiri.

·       Guru yang memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu.

Guru perlu mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk dengan menekankan unsur bersatu padu dalam aktiviti yang dijalankan dan memastikan murid-murid pelbagai kaum sentiasa berinteraksi antara satu sama lain. Hal ini dapat menerapkan elemen perpaduan semasa mengajar dan kokurikulum. Contohnya, guru boleh menyusun murid-murid dalam kerja berkumpulan yang mana setiap kumpulan mesti mempunyai murid-murid yang berbeza kaum.

·       Guru yang memelihara suatu masyarakat yang demokratik.

Kandungan ini menerangkan bahawa guru mesti sentiasa memberi peluang kepada murid-murid untuk membuat keputusan dan berlaku adil dalam membuat keputusan serta bertindak berasakan pertimbangan wajar. Hal ini bagi mengelakkan unsur pilih kasih seorang guru kepada murid-murid. Guru boleh memberi nasihat kepada murid untuk membuat keputusan.

·       Guru yang memelihara suatu masyarakat yang progresif.

Penekanan yang diberikan kepada aspek inovatif, kreatif, analitikal, kritikal, holistik, dan bersepadu dalam melaksanakan tugas bagi membentuk murid yang dapat berfikiran secara progresif dan saintifik. Bahkan, guru turut menekankan kaedah inkuiri-penemuan dan kaedah dapatan bagi memupuk sifat gemar menyiasat, meneroka benda baharu dan mereka cipta. Hal ini dapat melahirkan guru dan juga murid yang berfikiran jauh.

·       Guru yang memelihara suatu masyarakat yang berdisiplin.

Seorang guru hendaklah memastikan keharmonian, keselamatan dan keamanan menerusi penerapan nilai etika dan peraturan yang mesti dipatuhi untuk murid agar dapat membentuk masyarakat yang cemerlang dan berdisiplin seperti menerapkan semangat cinta kemerdekaan dalam diri murid, menyemai perpaduan kaum dan semangat kekitaan.

2.0 FALSAFAH PENDIDIKAN GURU SEBAGAI TERAS KEPADA PEMBENTUKAN PEMIKIRAN DAN AMALAN GURU-GURU DARI ASPEK PENGETAHUAN, KETERAMPILAN, SAHSIAH DAN ETIKA GURU.

NAMA: JANET WANDY WAN JOSEPH 

NO MATRIK: (D20211100077)

            Falsafah Pendidikan Guru (FPG) adalah satu pelita yang memberi pedoman dan arah tuju kepada setiap usaha pendidikan. Falsafah ini mengandungi matlamat yang mampu membangunkan modal insan. Maka, sangat penting bagi setiap pendidik iaitu guru untuk meneliti dan mentafsir kandungannya serta memahami dengan lebih mendalam akan hasrat dan cita-cita yang terkandung di dalamnya. Isi kandungan, hasrat dan cita-cita yang dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Guru akan memberikan suatu implikasi kepada keseluruhan perjalanan sistem pendidikan.

            Falsafah Pendidikan Guru adalah teras kepada pembentukan pemikiran dan amalan guru-guru dari aspek pengetahuan, keterampilan, sahsiah dan etika guru. Dari aspek pengetahuan, seseorang guru itu perlulah bijak bertindak sebagai penyebar ilmu. Menurut Ragbir Kaur (2007), guru berfungsi untuk mendidik murid melalui pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada aspek disiplin dalam kurikulum sekolah. Setiap guru harus bersikap amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban dari segi masa dan tenaga serta mempunyai sikap membantu dalam menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya. Apa yang ditekankan di sini adalah tentang sikap guru itu sendiri terhadap konsep ilmu pengetahuan. Seseorang guru mesti mendalami ilmu pengetahuan sebanyak yang mungkin agar dapat menyebarkan ilmu tersebut kepada murid-murid dan seterusnya dapat melahirkan insan yang berilmu juga. Sebagai contoh, guru perlu mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang subjek yang diajar supaya dapat memudahkan guru tersebut menerangkan tentang apa yang tidak difahami oleh murid di dalam kelas mengenai subjek tersebut.

            Selain itu, keterampilan di kalangan guru adalah faktor untuk merealisasikan misi nasional bagi melahirkan modal insan yang berkualiti. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:1427), keterampilan membawa maksud kecekapan dan kemampuan yang tinggi manakala terampil adalah cekap dalam melaksanakan sesuatu dan menyelesaikan masalah. Bagi melahirkan seseorang guru yang berketerampilan, guru itu perlulah menguasai ilmu pengetahuan dengan luas. Hal ini dikatakan demikian kerana, ilmu yang dikuasai adalah penting supaya dalam pengajaran dan pembelajaran nanti ianya dapat membantu guru itu bersedia dari segi mental dan emosi. Dari aspek pengetahuan juga, perkara penting yang perlu untuk melahirkan melahirkan guru yang berketerampilan ialah pedagogi iaitu pengajaran dan pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran, pengukuran dan penilaian iaitu yang ditinjau dari penyelidikan Tindakan serta aspek pembaharuan kurikulum.

            Seterusnya, guru berperanan sebagai pembentuk sahsiah. Tugas utama seorang guru adalah mendidik muridnya agar menjadi insan yang berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan negara. Menurut Ragbir Kour (2007) guru harus membentuk murid-murid supaya mempunyai sahsiah, akhlak yang mulia dan nilai-nilai murni yang tinggi.  Oleh itu, guru juga harus mempunyai sifat dan kualiti peribadi, bersikap professional dan sosial yang baik supaya dapat menjalankan tugas sebagai guru dengan sempurna. Namun, sebelum sahsiah pelajar dibentuk, guru perlulah terlebih dahulu mempunyai sahsiah yang baik agar dapat menjadi contoh kepada para murid. Menurut Ee Ah Meng (2003) guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak langsung, guru tersebut akan dapat memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalannya di dalam bilik darjah. Dengan itu, para guru hendaklah sentiasa menjaga sahsiah dan akhlak kerana guru akan menjadi role model kepada murid-murid dan masyarakat.

   Akhir sekali, etika guru iaitu aspek yang berkaitan dengan tingkah laku seseorang yang diterima dan dipersetujui oleh sekumpulan masyarakat. Melalui etika, guru perlulah sentiasa bekerja dengan ikhlas, amanah, bertanggungjawab terhadap individu, masyarakat, agama dan negara. Secara umumnya, dengan adanya tingkah laku yang baik, cara bekerja seseorang itu mampu menghasilkan pencapaian yang berkualiti di samping dapat memperbaiki imej organisasi. Tujuan etika guru diwujudkan adalah untuk mengawal tingkah laku para guru agar mereka dapat menggunakan setiap pengetahuan, kepekaan serta kemahiran yang ada untuk kebaikan semua pihak. Oleh itu, guru haruslah patuh dan menerapkan prinsip etika yang telah digariskan dalam profesion keguruan begitu juga dengan nilai utama yang difokuskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dijadikan sebagai panduan.

Kesimpulannya, guru adalah permata yang bernilai kepada masyarakat dan negara. Guru juga memikul tanggungjawab yang besar dan penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah negara. Maka, setiap individu yang bergelar guru wajib memanfaatkan kepakaran dan ilmu masing-masing untuk membina modal insan dalam pelbagai disiplin dan dimensi demi memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini.

 

3.0 ANALISIS KRITERIA KERJAYA GURU SEBAGAI PROFESIONAL DALAM PERKHIDMATAN AWAM.

NAMA: SOFIYA QISTINA BINTI HELMESKANDAR 

NO MATRIK: (D20211100078)

Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Pada asasnya, tugas utama guru di sekolah ialah untuk mengajar dan mendidik para pelajar agar menjadi insan yang syumul selain daripada memberikan ilmu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Manakala professional merujuk kepada kebertanggungjawaban, tahap kecekapan dan tanggungjawab yang harus dipegang oleh seseorang yang professional (Parr, 2004). Menurut Mohd Aizat Abu Hassan & Kamarudin Musa (2020), Profesionalisme guru merupakan sebuah bidang kajian yang berkaitan dengan standard atau piawaian dalam pengajaran kea rah yang lebih baik dan dalam banyak kajian dan tinjauan Pustaka menunjukkan terdapat hubungan langsung antara ‘budaya profesional’ dan ‘profesionalisme’. Terdapat kriteria-kriteria guru sebagai professional dalam perkhidmatan awam. Antaranya ialah seperti berikut:

Kriteria Guru Sebagai Profesional Dalam Perkhidmatan Awam

1. Pekerjaan guru merupakan suatu pekerjaaan yang unik.

Hanya guru yang berkemampuan memberi perkhidmatan terbaik untuk membangunkan personaliti, kebolehan intelek, rohani, emosi dan jasmani pelajar secara menyeluruh, bersepadu, seimbang dan harmoni. Walaupun kanak-kanak mempunyai ibu bapa, televisyen dan internet, namun hanya guru merupakan pakar yang terlatih untuk mewariskan pengetahuan, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan kepada generasi yang seterusnya. Sebagai contoh, guru mata pelajaran, guru pakar dan guru cemerlang.

2. Pekerjaan guru memerlukan tahap pendidikan yang tinggi.

Sesebuah pekerjaan yang professional seperti guru memerlukan keupayaan dan tahap pendidikan yang tinggi. Hal ini membolehkan para guru dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan agar murid dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Seoran guru perlu mendalami 3 komponen ini semasa dalam tempoh pengajian di institusi pendidikan iaitu pengetahuan dan kefahaman, kemahiran kaedah dan teknik dan amalan nilai professional.

3. Guru mendapat latihan khusus

Bidang kerja professional adalah pekerjaan yang penting dan harus dilakukan dengan betul untuk mengelakkan kekeliruan ketika meyampaikan ilmu kepada para pelajar. Seseorang guru mestilah menerima latihan ikhtisas terlebih dahulu sebelum melibatkan diri dalam pekerjaan sebagai seorang guru. Hal ini membolehkan mereka mahir dan faham tentang tanggungjawab yang harus mereka pikul semasa menjalankan tugas mereka.

4. Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi profesion tersebut.

Setiap jenis profesion mempunyai kod etika tersendiri dan berlainan dengan profesion lain. Etika ialah suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek-aspek moral yang baik dan buruk dengan tujuan memberi garis panduan kepada ahli-ahli berkenaan.

5. Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dilakukan.

Pekerjaan yang professional bukan sahaja memerlukan sikap rajin dan cekap dalam melakukan sesuatu tugas malah sifat bertanggungjawab itu juga perlu ada dalam diri seorang bakal guru. Tanggungjawab itu bukan sahaja pada tugasan yang dilakukan malah tangungjawab itu juga perlu ada dalam membuat setiap keputusan yang telah diputuskan. Apabila seseorang itu bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang telah dilakukannya maka jelaslah bahawa suatu kerja itu mempunyai ciri-ciri pekerjaan yang professional.



4.0 Analisis komponen Standard Guru Malaysia ke arah melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia.

NAMA: VELLARIENA SUDIT ANAK MORRIS 

NO MATRIK: (D20211100079)

          Standard Guru Malaysia ( SGM ) menggariskan  kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru , agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti . Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan. Terdapat dua komponen utama yang saling berkait rapat dalam Standard Guru Malaysia iaitu Standard (S) dan Keperluan (K). Standard Guru Malaysia ini telah menggariskan kriteria dan standard am guru selara dengan Malaysian Qualifications Framework ( MQF ) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.

          Malaysia amat memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama. Hal ini dikatakan demikian kerana, keupayaan merupakan pendekatan yang utama kearah mencapai negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya , diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya. Pembangunan insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti , iaitu yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan , berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi  bagi mengisi keperluan negara maju . Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran secara kritis dan kreatif , berkemahiran dan menyelesaikan masalah , berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.

         

          Seterusnya,standard ( S ) dalam kerangka Standard Guru Malaysia mengandungi tiga standard iaitu, Standard ( S1) yang merupakan amalan nilai profesionalisme keguruan berdasarkan domain diri , profesion dan sosial yang perlu ada dalam seseorang insan yang bergelar guru. Di samping itu, standard 2 ( S2 ) pula merupakan standard yang memperincikan kompetensi ilmu dan pengetahuan dan kefahaman tentang subjek pengkhususan , ilmu pendidikan , kurikulum dan kokurikulum yang patut ada pada seseorang guru. Beralih kepada standard 3 ( S3 ) yang merupakan standard yang akan memperincikan tentang kompetensi kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang patut dikuasai oleh seseorang guru.

         Bagi menyokong dan membantu guru mencapai tahap kompetensi amalan nilai profesionalisme  keguruan, pengetahuan dan kefahaman  , serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang diharapkan , agensi dan latihan perguruan patut menyediakan dan melaksanakan keperluan seperti berikut :

K1 : Keperluan ini memperincikan syarat dan kriteria serta prosedur pengambilan calon program latihan perguruan

K2 : Keperluan yang memperincikan program latihan, sistem pemantauan dan pentaksiran serta penilaian

K3 ; Merupakan keperluan yang memperincikan permuafakatan anatar agensi dan institusi latihan perguruan dengan pihak sekolah , institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara, badan bukan kerajaan serta lain – lain institusi yang boleh memantapkan lagi latihan perguruan.

K4 : keperluan ini turut memperincikan prasarana pengajaran dan pembelajaran, informasi dan komunikasi bagi mengoptimumkan kecekapan dan keberkesanan program latihan.

K5 : Keperluan yang memperincikan semua aspek perancangan dna pelaksanaan dasar, strategi , prosedur serta aktiviti bagi mewujudkan keyakinan bahawa kualiti latihan sentiasa terpelihara dan ditingkatkan secara berterusan.

          Perincian bagi standard dan keperluan yang digariskan adalah amat penting bagi menjamin program latihan yang dilaksanakan akan menghasilkan guru yang kompeten , kreatif , inovatif dan berketerampilan.

         Beralih kepada asas penentuan standard dan keperluan, terdapat 5 asas dalam penentuan standard dan keperluan iaitu :

        i.            Misi Nasional

 

Lima teras utama telah digariskan dalam misi nasional. Pertama, meningkatkan nilai nilai tambah dalam ekonomi negara. Kedua, meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Teras ketiga ialah, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Teras keempat turut meningkatkan kemampanan dan kualiti hidup serta teras kelima ialah mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

 

      ii.            Falsafah Pendidikan Kebangsaan

 

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara  Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

    iii.            Falsafah Pendidikan Guru

“Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu-padu, demokratik, progresif dan berdisiplin”

     iv.            Tatasusilan profesion Keguruan

 Seterusnya, semua guru di Malaysia berikrar akan Tatasusila Profesion Keguruan demi menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion.

       v.            Etika Kerja KPM

Perlu dilaksanakan dihayati berdasarkan prinsip – prinsip berikut:

·         Niat yang betul

·         Perlakuan yang baik

·         Pengerak kearah kebaikan

·         Memperkotakan apa yang dikatakan

·         Berdisiplin dan beradab

·         Menghargai dan bertanggungjawab atas hasil usaha organisasi.

 

 



 

Falsafah Pendidikan Guru (FPG): Pemikiran dan Amalan dalam Profesion Keguruan

 Blog ini merupakan tugasan kerja berkumpulan bagi subjek KPF3012 Kumpulan T.  1.0   PEMBENTUKAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU (FPG) DAN KANDUNGA...